KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu mula membuat persediaan menghadapi kemungkinan kembali menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik Prof Wong Chin Huat berpandangan perkembangan politik semasa khususnya kecenderungan undi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk berkumpul pada satu pihak memberi cabaran besar kepada PH menjelang PRU akan datang.
Malah, berdasarkan unjurannya menggunakan keputusan PRU15, sebanyak 28 daripada 71 kerusi yang dimenangi PH dan MUDA berpotensi bertukar tangan sekiranya undi penyokong BN dan PN dapat disatukan.
“Ini berasaskan bahawa kadar mengundi di kalangan pengundi penyokong PH itu tidak berubah. Tapi kalau kadar mengundi itu rendah seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ataupun kurang daripada PRN Negeri Sembilan.
“Maka kerusi yang dapat dikekalkan itu akan lebih rendah daripada 43,” katanya semasa wawancara bersama Nexora hari ini.
Justeru, beliau berpandangan PH tidak boleh menafikan cabaran yang sedang dihadapi sebaliknya perlu mengenal pasti faktor yang menyebabkan politik identiti semakin berkesan dalam menggerakkan pengundi.
“PH perlu cari jawapan (situasi itu) dan ia perlu buat persediaan untuk menjadi pembangkang selepas PRU16,” katanya.
Malah, Chin Huat mendakwa sistem politik ketika ini tidak adil dan cenderung menganaktirikan pembangkang, sekali gus berisiko menyebabkan PH berada dalam kedudukan lebih lemah sekiranya kembali menjadi pembangkang selepas PRU16.
Atas faktor itu, Chin Huat berkata PH perlu menggunakan kedudukannya dalam kerajaan ketika ini untuk melakukan reformasi yang dapat mewujudkan gelanggang politik lebih adil kepada semua parti.
“Kecuali, PH mengambil masa sekarang untuk meratakan gelanggang permainan supaya ia akan menjadi lebih adil kepada semua parti dalam keadaan sekiranya PH sememangnya menjadi pembangkang, ia ada peluang untuk naik kembali,” katanya.
Dalam wawancara sama, Chin Huat turut memberi amaran risiko kehilangan kerusi boleh menjadi lebih besar sekiranya PH gagal mengembalikan keyakinan dan semangat penyokongnya untuk keluar mengundi.
“Kalau mereka tak keluar mengundi, PH bukan saja akan hilang 28 kerusi mengikut unjuran berasaskan PRU15 tetapi akan hilang jauh lebih daripada itu,” katanya lagi.
