Skip to main content

Malaysia

Kesatuan Pondok Kelantan seru pemimpin Islam tolak politik fitnah, perpecahan

Kelantan Pondok Unity Urges Islamic Leaders to Reject Politics of Slander, Division_Media Sosial
Baba Zulkarnain berkata pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar dengan setiap perkataan boleh menjadi sama ada jambatan menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan. - Gambar media sosial
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan (Pondok MADANI) menyeru semua pemimpin politik, khususnya mereka yang membawa imej dan nama Islam supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

Pengerusinya Baba Zulkarnain Harun berkata pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar dengan setiap perkataan boleh menjadi sama ada jambatan menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan.

"Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Memandang serius kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi tulisannya bertajuk ‘DAP Memimpin Pakatan Harapan (PH) Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’, yang dimuat naik di laman sosial itu semalam, Baba Zulkarnain berkata Pondok MADANI berpandangan tuduhan sedemikian merupakan fitnah dan dakwaan tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih,

Selain itu, ia boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

"Lebih membimbangkan, pendekatan politik sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang mewajibkan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti," katanya.

Kenyataan itu juga memperlihatkan kekeliruan memahami kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia, serta kegagalan melihat maslahah siyasiyyah (urus tadbir) dalam konteks sebuah negara demokrasi yang masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana satu parti politik bertindak sesuka hati. Kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang dan prinsip semak dan imbang," katanya.

Beliau berkata Islam juga mempunyai kedudukan yang jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.

"Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti itu menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara.

"Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan hari ini merupakan sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti, dan setiap dasar kerajaan perlu melalui proses pentadbiran, perundangan dan institusi yang telah ditetapkan," katanya.

Baba Zulkarnain berkata sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada penyelesaian, berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement