Skip to main content

Malaysia

Diplomasi budaya di Sarawak perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

Diplomasi Budaya_rozlin rosmin
Seni bukan sekadar persembahan di pentas, sebaliknya bahasa sejagat yang mampu mendekatkan masyarakat daripada latar belakang berbeza. - Gambar Rozlin Rosmin
Advertisement

KUCHING: Alunan angklung daripada buluh dimainkan serentak kira-kira 30 anggota rombongan Duta Budaya Indonesia yang mengiringi pelayaran menyusuri Sungai Sarawak baru-baru ini, menjadi simbol persahabatan erat Malaysia-Indonesia menerusi diplomasi budaya, bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan kedua-dua negara.

Persembahan alat muzik tradisional masyarakat Sunda di Jawa Barat itu menjadi sebahagian daripada inti pati lawatan kebudayaan selama tiga hari ke bandar raya ini bermula 5 Ogos lepas bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-81 yang turut membuka ruang lebih luas kepada pertukaran budaya dan memperkukuh hubungan sesama rakyat.

Ketua Cahaya Ladara Nusantara, Triana Wulandari berkata lawatan dengan kerjasama Konsulat Jeneral Republik Indonesia itu bertujuan memperkenalkan warisan budaya Indonesia kepada masyarakat di Sarawak menerusi persembahan angklung, tarian tradisional dan batik.

“Kami mengadakan muhibah seni budaya untuk memperkenalkan dan mendiplomasikan seni budaya Indonesia, khususnya angklung, tari, batik dan kebaya kepada masyarakat di Sarawak sempena sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia.

“Acara seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada hubungan budaya yang lebih kukuh antara Sarawak dan Indonesia, sekali gus meningkatkan interaksi rakyat dengan rakyat menerusi pelbagai aktiviti seni,” katanya kepada Bernama.

Triana, 64, yang lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang kebudayaan dan sejarah di Indonesia berkata seni bukan sekadar persembahan di pentas, sebaliknya bahasa sejagat yang mampu mendekatkan masyarakat daripada latar belakang berbeza. 

Beliau berkata lawatan itu turut membuka ruang kepada kerjasama budaya yang lebih meluas apabila rombongan berkenaan menerima jemputan daripada kerajaan negeri untuk kembali membuat persembahan pada acara kebudayaan di Kuching sekitar September atau Oktober ini.

Sementara itu, ketua Saung Akar Budaya Siti Maryuni Soewardan yang mula mendalami seni budaya sejak di bangku sekolah menengah, berharap lawatan berkenaan menjadi titik permulaan kepada program pertukaran budaya antara Indonesia dan Sarawak.

Menurutnya, program silang budaya tidak seharusnya terhad kepada persembahan seni seperti angklung, gamelan atau tarian tradisional, malah boleh diperluas kepada perkongsian warisan kulinari, adat resam dan pemahaman budaya supaya masyarakat kedua-dua negara lebih mengenali antara satu sama lain.

“Angklung sendiri bukan sekadar alat muzik tradisional, malah menjadi medium yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak hingga warga emas, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan intelektual peserta,” katanya.

Siti Maryuni berkata alat muzik tradisional yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara itu menjadi antara identiti budaya Indonesia yang terus dipromosikan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Dr Sharzede Salleh Askor berkata hubungan rapat Sarawak dan Indonesia menjadikan pertukaran budaya sebagai platform penting untuk meningkatkan persefahaman, khususnya ketika Malaysia dan Indonesia meraikan bulan kemerdekaan masing-masing.

“Kita perlu terus memahami antara satu sama lain kerana hubungan yang rapat melalui budaya akan membantu mewujudkan persefahaman dan keamanan,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak program kerjasama budaya antara Sarawak dan Indonesia dapat dilaksanakan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan budaya serta hubungan masyarakat serumpun. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement