Skip to main content

Malaysia

Perlu pendekatan menyeluruh masyarakat cegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak - Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, June 8 -- Secretary General of Ministry of Women, Family and Community Development Datuk Dr Maziah Che Yusoff (centre) giving a certificate of appreciation to the Alliance for a Safe Community founder and chairman Tan Sri Lee Lam Thye (right) during the Living Your Golden Years Ordinary People Living Extraordinary Lives Conference and Exhibition at Kuala Lumpur Craft Complex today.  Also present Founding President of Third Age Media Association Cheah Tuck Wing (left).  --fotoBERNAMA (2024) COP
Lee berkata pengaruh rakan sebaya juga merupakan faktor utama kerana kanak-kanak pada usia berkenaan mudah dipengaruhi dan dipaksa oleh rakan atau golongan dewasa untuk mencuba dadah. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat yang lebih kukuh bagi mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak, susulan laporan peningkatan penglibatan golongan berusia 10 hingga 14 tahun.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata tanggungjawab menangani isu itu perlu dikongsi bersama keluarga, sekolah, komuniti, agensi penguatkuasaan dan kerajaan, bukannya diletakkan sepenuhnya pada bahu ibu bapa.

Beliau berkata pelbagai faktor mendorong penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak, termasuk masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya, pendedahan kepada persekitaran tidak sihat, perasaan ingin tahu, tekanan emosi serta pengaruh individu atau kumpulan yang lebih berusia.

“Oleh itu, pendekatan masyarakat perlu merangkumi penglibatan ibu bapa, program pencegahan berasaskan sekolah, kaunseling dan sokongan kesihatan mental, inisiatif positif yang diterajui rakan sebaya, pemantauan komuniti serta penguatkuasaan lebih tegas … ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lee menyifatkan peningkatan berkenaan amat membimbangkan, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana kanak-kanak pada usia semuda itu boleh mendapatkan akses kepada dadah.

Lee berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau pergaulan, aktiviti serta perubahan tingkah laku atau emosi anak-anak, namun tidak boleh meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada ibu bapa kerana sesetengah keluarga juga memerlukan bantuan.

Beliau berkata pengaruh rakan sebaya juga merupakan faktor utama kerana kanak-kanak pada usia berkenaan mudah dipengaruhi dan dipaksa oleh rakan atau golongan dewasa untuk mencuba dadah.

Pada masa yang sama, sekolah perlu memperkukuh usaha mengenal pasti dan mencegah masalah itu pada peringkat awal, dengan guru dan kaunselor dilengkapi pengetahuan untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran awal. 

Pendidikan mengenai dadah perlu mengajar kanak-kanak menolak pengaruh rakan sebaya, membuat keputusan yang tepat dan mendapatkan bantuan ketika menghadapi masalah, bukan sekadar memberitahu mereka bahawa dadah berbahaya.

Beliau turut meminta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, sekolah, pihak berkuasa kesihatan dan organisasi komuniti bersama-sama mempergiat program pencegahan di kawasan yang menunjukkan peningkatan penglibatan kanak-kanak.

Sehubungan dengan itu, Lee menegaskan bahawa intervensi awal jauh lebih berkesan berbanding menunggu sehingga seseorang kanak-kanak ketagih dan memerlukan pemulihan.

Kita mesti bertindak awal kerana mencegah penyalahgunaan dadah pada usia 10 tahun lebih berkesan daripada memulihkannya pada usia 20 tahun.

“Masa depan anak-anak kita tidak boleh diserahkan kepada nasib. Setiap kanak-kanak yang diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah bermakna kita menyelamatkan satu nyawa, keluarga dan masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement