Skip to main content

Malaysia

Peranan bapa dalam kalangan anggota ATM perlu terus diperkasa - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Perdana Sungai Besi 2026 di Dewan Datuk Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini._BERNAMA
Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bersama Warga ATM Kem Perdana Sungai Besi 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus diberi sokongan dalam melaksanakan peranan sebagai bapa, khususnya bagi mengimbangi tuntutan tugas mempertahankan negara dengan tanggungjawab terhadap keluarga, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata sokongan itu penting memandangkan tuntutan tugas anggota ATM ada kalanya memerlukan mereka berjauhan daripada anak-anak dan keluarga untuk tempoh tertentu.

Dr Wan Azizah berkata inisiatif seperti Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dapat membantu memperkasakan peranan golongan bapa, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mereka sebagai antara tonggak utama dalam institusi keluarga.

“Kita mahu juga bapa (diberi) sokongan untuk mengukuhkan, memperkuat dan merealisasikan bahawa peranan seorang bapa itu penting sebagai pemimpin dalam keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bersama Warga ATM di sini hari ini.

Program bertemakan “Sehebat KASIH Bapa” anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ATM itu menghimpunkan kira-kira 500 tetamu dan peserta terdiri daripada bapa, pasangan dan anak-anak warga ATM serta wakil agensi kerajaan.

Penganjurannya bertujuan menghargai peranan dan pengorbanan golongan bapa, khususnya anggota ATM yang ada kalanya perlu berjauhan daripada keluarga dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

Antara usaha LPPKN dalam memperkukuh sokongan kepada golongan bapa ialah Modul Kebapaan yang memfokuskan kemahiran kebapaan serta Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN Empowerment Network).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement