GEORGE TOWN: Siasatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati punca pokok angsana berusia 90 tahun yang tumbang di Jalan Macalister di sini, disebabkan akar reput, rongga pada pangkal batang, pemadatan tanah kronik dan ruang perakaran yang terhad.
Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata pokok spesies Pterocarpus indicus setinggi 28 meter itu mengalami akar reput kira-kira 30 peratus, manakala rongga pada pangkal batang melibatkan kira-kira 40 peratus daripada bahagian tersebut.
"Faktor itu digabungkan dengan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur, pemadatan tanah yang kronik, ruang perakaran yang terhad serta pokok tinggi, menyebabkan risiko kegagalan struktur meningkat dengan ketara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi tadi, sepasang suami isteri warga emas dan cucu mereka mengalami kecederaan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Macalister di sini.
Rajendran berkata tiada laporan mengenai hujan lebat atau angin kencang ketika atau sebelum kejadian pokok tumbang itu.
Beliau berkata MBPP telah menjalankan penilaian terhadap pokok matang dan berusia di sepanjang Jalan Macalister pada 2024, dan 13 batang pokok telah ditebang.
Pada tahun lepas, kajian teknologi penderiaan jauh bagi penyelesaian sistem amaran awal berkaitan tahap kesihatan pokok mendapati pokok-pokok di jalan berkenaan dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang petunjuk amaran.
"Kali terakhir kerja-kerja penyelenggaraan pokok di sepanjang Jalan Macalister dijalankan adalah pada 29 Jan tahun ini," katanya.
Beliau berkata sebanyak 179 pokok berisiko tinggi telah diluluskan untuk penebangan pada tahun ini, dengan 148 daripadanya telah selesai ditebang.
Sementara itu, berdasarkan rekod MBPP sebanyak 247 pokok telah ditebang dalam tiga suku pertama tahun ini, iaitu 82 pokok antara Januari hingga Mac, sebanyak 78 pokok (April hingga Jun) dan 87 pokok (Julai hingga September).
Rajendran berkata penebangan pokok itu disebabkan pelbagai faktor, termasuk menghalang saliran, pokok mati atau condong, berisiko tumbang, projek pembangunan, pelebaran jalan dan sungai serta melibatkan jajaran paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
"Bagi program pengurusan pokok MBPP secara keseluruhannya, sebanyak 2,535 pokok telah dikenal pasti dalam beberapa kategori tahun lepas, termasuk 45 kes menghalang saliran, 138 pokok mati, 2,242 pokok yang dinilai di bawah kategori berkaitan risiko atau kategori lain, serta 110 pokok yang berkaitan dengan kerja pembangunan atau infrastruktur," katanya.
Beliau berkata susulan kejadian pokok tumbang itu, MBPP telah mengarahkan kontraktor yang dilantik supaya mempercepat kerja-kerja mengurangkan ketinggian pokok, dan menebang pokok yang berpotensi tumbang di sepanjang Jalan Macalister, berdasarkan penilaian arboris bertauliah.
-- BERNAMA
