Skip to main content

Sukan

Selangor lantik penyelaras pantau kebajikan 10,000 sukarelawan SUKMA

SEPANG, 9 Ogos -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas menghadiri Himpunan Mega Sukarelawan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin berkata individu yang akan menggalas tanggungjawab tersebut berkemungkinan terdiri daripada kalangan Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian. - Foto Bernama
Advertisement

SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor akan melantik penyelaras khusus bagi memantau kebajikan kira-kira 10,000 sukarelawan yang bertugas sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata individu yang akan menggalas tanggungjawab tersebut berkemungkinan terdiri daripada kalangan Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian.

Beliau berkata pelantikan itu penting bagi memastikan setiap gerak kerja dan kebajikan para sukarelawan sentiasa terjaga memandangkan mereka merupakan nadi penting kepada kelancaran temasya sukan berkenaan.

“… nanti saya akan lantik seorang penyelaras sebenarnya untuk sukarelawan sebab kita ada 10,000 kalau boleh kita nak tengok Exco ataupun mana-mana ahli dewan undangan negeri yang bersesuaian supaya kebajikan mereka dapat dipantau di setiap masa dan waktu. 

“Saya akan umumkan satu (atau) dua hari lagi supaya dia dapat melihat, memantau dan menjadikan sukarelawan ini terjaga pada saat mereka berkorban untuk menjayakan program ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Larian Obor SUKMA 2026 bersempena dengan Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Sepang dan Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Baginya, penganjuran kali ini memperlihatkan keupayaan Selangor menggembleng kekuatan dalaman negeri memandangkan tiada sokongan kewangan khusus daripada Kerajaan Persekutuan seperti diterima tuan rumah temasya sebelum ini.

“Sekarang cabaran kita adalah daripada segi penganjuran. Kita yakin semua kemudahan sedia ada berada dalam keadaan terbaik selepas semakan dan kini fokus kita adalah memastikan kelancaran penganjuran melalui peranan penting para sukarelawan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengumumkan elaun sukarelawan sebanyak RM100 sehari meliputi elaun makan dan tugasan harian manakala elaun pengangkutan akan dibayar secara sekali bayar RM100, selain perlindungan insuran bertugas bernilai RM10,000. 

Sementara itu, Exco Belia dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyifatkan penganjuran SUKMA kali ini sebagai pentas penting untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang akan diketengahkan ke tahap lebih tinggi.

"Kalau boleh kita nak lihat mereka ataupun atlet-atlet yang terlibat dalam SUKMA pada kali ini muncul sebagai atlet bakal membawa pingat emas pertama Malaysia dalam Olimpik nanti, insya-Allah," katanya. 

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos diikuti Para SUKMA pada 5 hingga 14 Sept. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement