BACHOK: Kajian saintifik selama tiga tahun yang dijalankan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendedahkan bahawa lintah tempatan, khususnya spesies lintah kerbau (Hirudinaria manillensis), mempunyai potensi pasaran sangat besar dalam industri perubatan moden.
Penyelidikan itu memfokuskan kepada keupayaan luar biasa protein yang terkandung dalam air liur haiwan berkenaan sebagai ejen antikoagulan atau pencegah pembekuan darah.
Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan Dr Zulhisyam Abdul Kari berkata penemuan paling signifikan dalam kajian itu mendedahkan keajaiban komponen protein lintah yang mengandungi Hirudin.
Beliau berkata sifat Hirudin ini berfungsi menyamai Heparin dalam perubatan moden yang berperanan melambatkan proses pembekuan darah.
"Ujian makmal membuktikan ekstrak protein lintah mampu melambatkan pembekuan darah setanding dengan antikoagulan yang lain," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun lintah dan pacat berada dalam keluarga sama, lintah dipilih sebagai subjek utama kerana kuantiti cecair air liur dan kualiti proteinnya jauh lebih tinggi serta efektif berbanding pacat.
Katanya, kaedah rawatan menggunakan lintah atau bekam lintah sebenarnya telah lama diamalkan bagi merawat pelbagai komplikasi kesihatan termasuk penyakit gout, jerawat, serta membantu menyembuhkan luka kronik pesakit kencing manis.
"Rawatan komersial mengekalkan prosedur klinikal yang sangat ketat iaitu seekor lintah hanya digunakan khusus untuk seorang pesakit sahaja bagi mengelakkan risiko jangkitan silang.
"Lintah dari rantau Asia diiktiraf antara paling berkualiti tinggi di dunia, sehinggakan negara maju seperti Jerman menggunakannya secara meluas sebagai rawatan prapembedahan jantung pesakit bagi memastikan kelancaran aliran darah secara saintifik,", katanya.
Selain itu, negara jiran seperti Thailand turut mengimport lintah dari Malaysia bagi memenuhi pasaran perubatan mereka yang mempunyai permintaan tinggi pada suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa industri penternakan lintah di Malaysia kini mengalami kemerosotan drastik berbanding suatu ketika dahulu yang pernah melonjak menerusi sistem pertanian kontrak.
"Hal ini berpunca daripada isu unsur penipuan yang menjejaskan keyakinan pelabur serta pemain industri tempatan," katanya.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih parah apabila populasi lintah di habitat semula jadinya seperti di kawasan sawah padi dilaporkan semakin berkurangan secara signifikan dan diancam kepupusan akibat penggunaan racun makhluk perosak serta baja kimia secara tidak terkawal oleh sektor pertanian.
Bagi langkah pemeliharaan, Zulhisyam berkata pengurusan dan kawalan lintah di negara ini telah dialihkan sepenuhnya di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia sejak 2011 daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memastikan kelestarian spesies ini.
Beliau berkata bagi membolehkan lintah tempatan dikomersialkan ke peringkat global dalam industri perubatan moden, sokongan dana lebih besar amat diperlukan bagi melaksanakan perincian kajian ke peringkat seterusnya termasuk kajian biologi molekular.
Zulhisyam menasihati masyarakat agar menghargai lintah sebagai khazanah berharga negara yang perlu dipelihara demi kelangsungan sains dan bioteknologi masa hadapan kerana setiap hidupan mempunyai fungsi khusus penting dalam ekosistem.
-- BERNAMA
