Skip to main content

Malaysia

MAHA 2026 platform hubung usahawan tani, pembeli global

KOTA BHARU, 8 Ogos -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) pada Majlis Perasmian Penutup Program Road to MAHA 2026 Zon Timur, hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) pada Majlis Perasmian Penutup Program Road to MAHA 2026 Zon Timur, hari ini. Turut hadir Isham (kiri). - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept depan akan menjadi platform menghubungkan usahawan tani dan penggiat sektor agromakanan yang menghasilkan inovasi dengan agensi penyedia bantuan serta bakal pembeli dari dalam dan luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata platform itu mampu memberi nilai tambah kepada inovasi yang dihasilkan, selain membantu mempercepat proses pengkomersialan produk.

“Bukan sahaja ia (MAHA) berfungsi untuk mencari atau memberi idea baharu kepada petani dan penternak, tetapi mereka yang sudah mempunyai inovasi baharu dan mahu mengkomersialkannya juga boleh menggunakan pelbagai platform yang disediakan agensi.

“Mereka boleh mencari peluang untuk menggunakan inovasi itu untuk dikomersialkan, sama ada secara sendiri atau bergabung dengan agensi kerajaan dan swasta,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis perasmian penutup Program Road to MAHA 2026 Zon Timur di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan tema MAHA 2026, ‘Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan’, yang menekankan usaha membawa sektor pertanian negara ke tahap lebih tinggi selepas sambutan 100 tahun MAHA pada 2024.

Isham berkata petani, penternak, peladang dan nelayan kini bukan sekadar menjalankan aktiviti pertanian secara konvensional, sebaliknya perlu memanfaatkan inovasi serta teknologi moden bagi mencipta nilai baharu dan meningkatkan pendapatan.

MAHA 2026 bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Sekretariat MAHA 2026 Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata penggunaan teknologi moden penting bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian dan industri makanan, sekali gus memastikan kesinambungannya pada masa depan.

Justeru, beliau berkata MAHA 2026 akan mengetengahkan pelbagai teknologi termasuk pertanian pintar, pertanian menegak, Internet Pelbagai Benda (IoT), dron serta sistem pengurusan pengairan pintar.

“Sebagai contoh, penggunaan dron dalam pembajaan dan sistem pengurusan pengairan pintar dapat mengawal serta memantau aliran air ke sawah padi, selain menyediakan sistem amaran awal bagi mengetahui kemampuan bekalan air mengairi kawasan sawah,” katanya.

Mohd Haniff berkata acara itu juga menyasarkan pemeteraian antara 30 hingga 40 memorandum persefahaman (MoU) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM8 bilion, selain nilai jualan sekitar RM58 juta.

Beliau berkata MoU berkenaan dijangka dimeterai sepanjang tiga hari Trade Days dari 1 hingga 3 Sept, melibatkan kerjasama antara pengeluar tempatan dengan pengimport luar negara.

“Sebagai contoh, jika ada permintaan pes durian atau buah durian daripada China, kita akan ada kerjasama antara pengeluar durian tempatan dengan pengimport dari luar negara. Jadi nilai itu akan menjadi data untuk kita dalam menandatangani MoU,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata penyertaan Agrobank sebagai Penaja Utama MAHA 2026 mencerminkan komitmen bank itu untuk memperkukuh daya tahan sektor agromakanan negara menerusi penyelesaian kewangan yang menyokong keseluruhan rantaian nilai industri.

Beliau berkata Agrobank akan memanfaatkan platform berkenaan untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti agro, memperluas akses kepada penyelesaian kewangan serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan institusi kewangan pembangunan dalam memacu transformasi sektor agromakanan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement