Skip to main content

Dunia

Taufan Dolphin landa Okinawa, China bersiap sedia hadapi impak ribut

A car makes its way through strong winds and rain as Typhoon Dolphin approaches, in Nazeasahicho, Amami, Kagoshima, Japan, August 7, 2026, in this screengrab obtained from a social media video. @darider5/X/via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. NO RESALES. NO ARCHIVES. VERIFICATION: - Road layout, buildings, fences and utility poles matched satellite and archive imagery - Date confirmed by original file metadata
Sebuah kereta meredah angin kencang dan hujan lebat ketika Taufan Dolphin menghampiri Nazeasahicho di Amami, wilayah Kagoshima, Jepun. - Foto REUTERS
Advertisement

TOKYO: Taufan Dolphin melanda wilayah Okinawa di selatan Jepun pada Sabtu, menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada puluhan ribu premis dan mencederakan sekurang-kurangnya lima orang, ketika China meningkatkan langkah berjaga-jaga menjelang ketibaan ribut berkenaan di pantai timurnya.

Agensi Meteorologi Jepun mengklasifikasikan Dolphin sebagai taufan “sangat kuat” dengan kelajuan angin maksimum mencecah 162 kilometer sejam, selain memberi amaran mengenai ombak besar, ribut pasang surut dan sambaran petir.

Di Okinawa, sekurang-kurangnya 44,000 bangunan dilaporkan terputus bekalan elektrik, manakala lima warga emas cedera ringan selepas terjatuh akibat angin kencang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Naha turut menutup operasi dan semua penerbangan dibatalkan.

Media tempatan melaporkan sejumlah pokok tumbang di beberapa kawasan, selain sebuah kenderaan terbalik akibat cuaca buruk yang dibawa taufan itu.

Taufan Dolphin dijangka membadai pantai timur China lewat Ahad atau awal Isnin, dengan kawasan antara Zhoushan di Zhejiang dan Fuding di Fujian dikenal pasti sebagai lokasi paling berisiko menerima impak langsung.

Sebagai langkah persediaan, pihak berkuasa China menutup pelabuhan, menggantung perkhidmatan feri dan menghentikan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ningbo Lishe.

Amaran taufan di pesisir Zhejiang turut dinaikkan ke tahap tertinggi.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China menjangkakan hujan lebat dan angin kencang akan melanda kawasan timur negara itu sehingga 12 Ogos, termasuk Shanghai dan wilayah berdekatan.

Sesetengah kawasan di Zhejiang berpotensi menerima lebih 600 milimeter hujan, meningkatkan risiko banjir serta tanah runtuh.

Musim taufan di Pasifik Barat biasanya berlangsung antara Mei hingga Oktober.

Pakar cuaca berkata fenomena El Nino yang kuat tahun ini berpotensi menjadikan taufan lebih intensif berbanding kebiasaan.

 

Must Watch Video

Advertisement