Skip to main content

Dunia

Nagasaki peringati ulang tahun ke-81 pengeboman atom

Japanese Prime Minister Sanae Takaichi bows after laying a wreath for the victims of the 1945 atomic bombing during a ceremony commemorating the 81st anniversary of the bombing of Nagasaki at Nagasaki Peace Park in southwestern Japan, August 9, 2026. REUTERS/Manami Yamada TPX IMAGES OF THE DAY
Perdana Menteri Sanae Takaichi dijangka menyampaikan ucapan pada upacara memperingati serangan 9 Ogos 1945 ke atas bandar di barat daya Jepun itu. - Foto Reuters
Advertisement

TOKYO: Nagasaki pada Ahad memperingati ulang tahun ke-81 pengeboman atom oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas bandar itu semasa Perang Dunia Kedua, ketika perdebatan mengenai pencegahan nuklear di tengah-tengah ketegangan geopolitik meningkatkan desakan supaya membendung penyebaran senjata nuklear, lapor Kyodo News.

Pada upacara memperingati serangan 9 Ogos 1945 ke atas bandar di barat daya Jepun itu, yang berlaku tiga hari selepas pengeboman atom Hiroshima di bahagian barat negara berkenaan, Datuk Bandar Shiro Suzuki dijangka menggesa pemimpin dunia berusaha ke arah perlucutan senjata nuklear sambil menegaskan bahawa manusia tidak boleh hidup bersama senjata nuklear.

Bertafakur selama seminit akan diadakan pada 11.02 pagi, waktu bom plutonium “Fat Man” digugurkan oleh pesawat pengebom AS dan meletup di ruang udara Nagasaki.

Nagasaki kekal sebagai lokasi terakhir di dunia yang mengalami serangan nuklear.

Perdana Menteri Sanae Takaichi juga dijangka menyampaikan ucapan pada upacara itu, manakala kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres akan dibacakan.

Ketika perdebatan semakin meningkat sama ada Jepun perlu menilai semula tiga prinsip bukan nuklear yang telah lama diamalkan iaitu tidak menghasilkan, memiliki atau membenarkan senjata nuklear berada di negara itu, Takaichi selepas upacara di Hiroshima pada Khamis berkata kerajaan “terus berpegang” kepada dasar berkenaan.

Pada Mei, Persidangan Kajian Semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), yang pada dasarnya diadakan setiap lima tahun, berakhir tanpa mencapai kata sepakat buat kali ketiga berturut-turut selepas mesyuarat selama sebulan di New York.

Serangan nuklear ke atas Nagasaki dipercayai mengorbankan kira-kira 74,000 orang di bandar itu menjelang akhir 1945 selain menyebabkan ramai lagi mengalami kesan susulan serangan berkenaan.

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos tahun yang sama, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement