Skip to main content

Dunia

Letupan bom kereta gegar Colombia sehari selepas presiden baharu angkat sumpah

Soldiers walk through a toll plaza along the Pan-American Highway damaged in a car bomb explosion that the army blamed on FARC dissident groups in Santander de Quilichao, Colombia, Saturday, Aug. 8, 2026. (AP Photo/Santiago Saldarriaga)
Anggota tentera berjalan melalui sebuah plaza tol di Lebuhraya Pan-American yang rosak akibat letupan bom kereta yang didakwa dilakukan oleh kumpulan serpihan FARC di Santander de Quilichao, Colombia. - Foto AP
Advertisement

CALI: Satu letupan bom kereta menggegarkan barat daya Colombia pada Sabtu, sehari selepas Presiden baharu negara itu, Abelardo de la Espriella, mengangkat sumpah jawatan dengan janji untuk memperhebat tindakan terhadap kumpulan bersenjata dan jenayah terancang.

Menurut pihak tentera Colombia, serangan itu dipercayai dilakukan oleh dua kumpulan serpihan Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang menolak perjanjian damai yang dimeterai dengan kerajaan pada 2016.

Letupan berlaku di sebuah plaza tol di Lebuhraya Pan-American, laluan utama yang menghubungkan wilayah Cauca dan Valle del Cauca di barat negara itu.

Dua pengawal keselamatan dilaporkan cedera ringan dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan ditinggalkan di lokasi sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal beberapa saat sebelum letupan berlaku.

Kerajaan pimpinan de la Espriella segera mengutuk serangan berkenaan dan berikrar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menteri Pengangkutan, Elsa Noguera, berkata Colombia tidak akan tunduk kepada keganasan atau membenarkan kemusnahan terhadap infrastruktur penting negara.

Beliau turut merujuk ucapan sulung presiden itu yang berjanji untuk menumpaskan “narco-keganasan” serta memulihkan keselamatan awam di seluruh negara.

De la Espriella, seorang peguam dan ahli perniagaan yang baru menceburi politik, memenangi pilihan raya Jun lalu dengan kempen berteraskan pendekatan keras terhadap kumpulan pemberontak dan sindiket dadah.

Dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah, beliau memberi amaran kepada kumpulan bersenjata bahawa mereka mempunyai dua pilihan, sama ada mematuhi undang-undang atau berdepan tindakan pasukan keselamatan.

Colombia telah berdepan konflik dalaman selama lebih enam dekad yang melibatkan kumpulan pemberontak, pasukan separa tentera, pasukan kerajaan dan rangkaian jenayah.

Negara itu juga merupakan pengeluar daun coca terbesar dunia, bahan mentah utama bagi penghasilan kokain.

 

 

Must Watch Video

Advertisement