PRISTINA: Sidang Parlimen Kosovo terpaksa digantung selepas seorang ahli parlimen pembangkang bertindak membaling telur ke arah Pemangku Perdana Menteri, Albin Kurti, ketika perbahasan berlangsung pada Sabtu.
Ahli Parlimen daripada parti Alliance for the Future of Kosovo (AAK), Time Kadrijaj, membaling sekurang-kurangnya empat biji telur ke arah Kurti sambil menjerit “Malu kepada kamu!”, sebelum dihalang oleh anggota keselamatan dan ahli parlimen lain.
Insiden itu tercetus selepas Kurti memaklumkan parlimen bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk berunding dengan parti-parti lain sebelum mencadangkan calon Yang Dipertua Parlimen susulan pilihan raya mengejut yang diadakan pada Jun lalu.
Kekecohan yang berlaku memaksa sidang digantung serta-merta, manakala siaran langsung mesyuarat turut dihentikan ketika pasukan keselamatan mengelilingi Kurti.
Walaupun menjadi sasaran balingan telur, Kurti dilaporkan tetap tenang dan berkata beliau sanggup menerima tindakan sedemikian jika ia dapat membuka ruang kepada dialog politik dengan pihak pembangkang.
Kosovo kini berdepan kebuntuan politik berpanjangan selepas pilihan raya Jun lalu.
Parti Vetevendosje pimpinan Kurti muncul sebagai parti terbesar di parlimen, namun masih memerlukan sokongan pihak lain untuk membentuk kerajaan dan memilih pegawai utama negara.
Negara Balkan itu telah mengadakan tiga pilihan raya dalam tempoh kurang dua tahun akibat perpecahan politik yang berterusan, sekali gus menimbulkan ketidakpastian terhadap pembentukan kerajaan baharu.
