GAZA: Pasukan penyelamat berjaya menemukan 19 mayat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, daripada timbunan runtuhan sebuah bangunan kediaman yang musnah di Bandar Gaza, menurut kenyataan pertahanan awam Gaza.
Operasi yang berakhir pada Sabtu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengeluarkan mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan di seluruh Gaza, yang kini dilakukan secara perlahan dan kebanyakannya menggunakan kaedah manual berikutan kekurangan jentera berat.
Menurut penyelia operasi pemulihan, Mohammed Abu Dan, kerja-kerja mencari di bangunan yang dikenali sebagai "Karam" di kawasan barat Gaza berakhir selepas empat hari berturut-turut dijalankan.
Beliau berkata, pasukan perubatan khas dan anggota pertahanan awam akan meneruskan operasi pencarian di lokasi baharu di Bandar Gaza dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang.
Pihak pertahanan awam sebelum ini berulang kali memaklumkan, anggota mereka terpaksa bergantung kepada peralatan asas serta tenaga kerja yang tinggi berikutan ketiadaan jentera berat yang mampu mengalihkan timbunan konkrit akibat serangan Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, lebih 8,000 individu masih dilaporkan hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di seluruh wilayah itu.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 1,254 orang terbunuh, 4,121 cedera dan 804 mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan, menurut data terkini kementerian berkenaan.
Secara keseluruhan, angka korban sejak konflik tercetus pada Oktober 2023 kini melebihi 73,300 orang, manakala lebih 174,000 lagi dilaporkan cedera.
Operasi pemulihan terkini itu dilakukan selepas satu upacara pengebumian besar-besaran diadakan di Bandar Gaza pada Selasa lalu membabitkan 112 individu daripada keluarga Abu Sharia dan al-Hasayna.
Mayat mereka ditemukan daripada runtuhan sebuah blok kediaman di kawasan Sabra yang musnah akibat serangan Israel pada November 2023. - Agensi
